Bike Description for

KYMCO DOWN TOWN 250I 2017

Selepas puas bermain dengan Modenas Elegan 250, kini tiba pula giliran jenama rakan kongsi teknikal Modenas, Kymco untuk muncul. Kymco atau Kwang Yang Motor Company Limited ditubuhkan dalam tahun 1963 dan mula menghasilkan produk sendiri selepas “bercerai” dengan Honda Japan untuk produksi di Taiwan dan China. Selepas itu, Kymco terus menerus memberi tumpuan kepada kualiti dan kejuruteraan dan sekarang, ia menjadi pilihan BMW dan Kawasaki untuk skuter-skuter mereka sendiri. 075-kymco-modenas-250-2016-edited-69 Hanya selepas mencuba produk Kymco sendiri baharu kita fahami kenapa gergasi BMW dan Kawasaki memilih Kymco; kerana ia antara pengeluar skuter yang terbaik. Kymco suatu ketika dahulu dipasarkan di Malaysia oleh syarikat lain, namun sayang tidak begitu popular kerana masalah pusat servis dan alatganti. Kini, EMOS, anak syarikat Modenas telah mengambil alih tugas tersebut dan Kymco kini di bawah seliaan syarikat milik DRB-Hicom itu sendiri. Fokus diberikan kepada wakil pengedar dan servis serta simpanan stok alatganti agar pemilik Kymco kali ini lebih berpuas hati dengan prestasi dan pemilikan jenama Taiwan itu.

Careta sebenarnya masih lagi teruja dengan Kymco DownTown 250i, walaupun sudah lebih seminggu dipulangkan. Penulis sempat menggunakannya selama seminggu dan selama itulah, motosikal 1,200 cc milik penulis tersadai berehat kerana Kymco DownTown 250i ini nyata serba boleh. Di bawah ialah laporan ringkas tunggang uji Careta.

  • Kymco DownTown 250i menggunakan enjin 4-lejang, silinder tunggal berkapasiti 246 cc dengan 4 injap, EFI, CDI dan SOHC serta sejukan cecair. Ia adalah enjin YANG BERLAINAN dari enjin untuk Modenas Elegan 250.
  • Transmisi ialah CVT dan kuasa maksimum ialah 22.93 hp dan 23.1 Nm.
  • Berat Kymco DownTown 250i ialah 191 kg (berat kering). Saiz tangki bahan bakar ialah 12.5 liter.
  • Kerangka adalah dari jenis tiub besi dan sistem gantungan ialah fork teleskopik besar bersaiz 37 mm di hadapan dan lengan ayun trailing dengan dua penyerap hentak boleh laras (5-kedudukan) di belakang.
  • Saiz brek cakera pula ialah 260 mm di hadapan (cakera tunggal dengan angkup tiga piston) dan 240 mm di belakang (angkup dua piston). Oh ya, ia datang sekali dengan ABS bagi hentian yang lebih selamat di permukaan hujan.
  • Lampu hadapan kembar dengan mentol H7 dan LED untuk DRL. Lampu belakang pula datang dengan “light guide” LED ala kereta.
  • Panel meter sangat cantik – berwarna biru bila malam dan mempunyai skrin LCD yang sarat dengan informasi.
  • Tempat barang bawah pelana mampu memuatkan dua helmet full-face. Ia juga mempunyai lampu di dalamnya.
  • Ada dua kotak simpanan barang di bawah hendal, dan satu lengkap dengan pen-caj USB.Ia nampak kedap air hujan, namun kami tak berani mencubanya.
  • Kymco memastikan bahawa sisi Kymco DownTown 250i ini direka agar membenarkan penunggang turun ke selekoh dengan kadar miring sehingga 39-darjah.
  • Mungkin kerana itu, dan tayar-tayar bersaiz 120/80 R14 (depan) dan 150/70 R13 (belakang) memungkinkan penulis turun benar-benar miring ala membawa superbike.
  • Ini jarang boleh dilakukan oleh skuter pada julat harga ini kerana sistem gantungan yang lembik dan ekzos serta lengan ayun belakang yang tebal. Kymco mungkin beranggapan model DownTown 250i ini bakal menarik pemilik motosikal berkuasa tinggi untuk dijadikan tunggangan harian.
  • Tidak seperti DownTown 200i yang pernah dijual di Malaysia dahulu, Kymco DownTown 250i ini mempunyai tempat letak kaki yang lebih selesa untuk penunggang tinggi.

030-kymco-modenas-250-2016-edited-9

  • Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa model Kymco DownTown 250i ini lebih selesa untu ditunggang jauh berbanding dengan model Kawasaki J300, terutama untuk penunggang setinggi 6 kaki seperti penulis.
  • Pecutan tegar terasa lebih padat dan sporti; mungkin kerana Kymco menggunakan sistem gantungan dan alas getah (rubber bushing and mounting) yang berbeza.
  • Halaju maksimum tidak dicuba oleh penulis kerana enjin yang masih baharu. Itupun, 140 kmsj mudah dicapai.
  • Penggunaan bahan bakar juga masih tidak boleh diuji kerana enjin yang ketat. Namun begitu, dari pengalaman, enjin Kymco bukan sahaja lasak tetapi menjimatkan. Di Eropah, model Kymco sudah berdiri sama tinggi dengan jenama Jepun sebenarnya.

047-kymco-modenas-250-2016-edited-42

  • Nyata, selepas bertukar tunggangan dengan Modenas Elegan 250, memang ada perbezaan ketara yang membolehkan Kymco meminta sebanyak RM9,191 lebih tinggi dari Elegan itu.
  • Dari segi rekabentuk, bahagian hadapan Kymco ini mengingatkan penulis kepada sebuah jentera Aprila, atau mungkin kepada karektor robot Transformers, Bumblebee.
  • Skrin besar membantu menghadang angin dan juga air hujan ketika menunggang, cuma untuk penunggang setinggi 6 kaki, mungkin boleh ditambah “spoiler” kecil di atas untuk mendongakkan lagi angin.
  • Pada bahagian atas papan pemuka, Kymco ada menyediakan ruang untuk memasang alat navigasi satelit. Mungkin EMOS boleh menyediakan alat itu sebagai optional.
  • Bahagian belakang memang lebar dan besar dan memberikan cahaya yang terang – bagus untuk keselamatan ketika menunggang di waktu malam.

Senjata utama Kymco ini sebenarnya ialah harganya. Pada harga RM22,790, ia bukanlah skuter 250 cc yang paling murah tetapi jika kita bandingkan skuter ini dengan skuter dari jenama Jepun, ia adalah satu pakej yang sangat menarik. Kymco juga tidak boleh dibandingkan dengan jenama dari Taiwan yang lain kerana jenama Kymco sudah jauh ke hadapan berbanding dengan mereka. Letak satu kotak Givi di belakang dan anda sudah ada jentera touring yang selesa untuk meronda sehingga ke wilayah Mae Hong Son, Thailand. Untuk eksekutif-eksekutif yang sedang mencari jentera tunggangan yang selesa dan ranggi – Kymco DownTown 250i memang satu pilihan tepat. Tak tidur penulis dibuatnya! 043-kymco-modenas-250-2016-edited-38